Tuesday, August 31, 2010

Ramadhan menggamit rasa kehambaan


Ramadhan Al Mubarak datang lagi dan kini ia hampir di penghujungnya. Seperti sebelumnya, Ramadhan tetap menjadi bukti betapa sayangnya Tuhan pada kita. Kita masih diberi peluang untuk merasai nikmat keajaiban bulan Ramadhan. Mana tidaknya, dalam banyak2 ibadat yang diwajibkan ke atas umat manusia, rasanya ibadat puasalah yang paling ramai mengamalkannya. Biar siapapun dia, biarpun dia selalu melengahkan malah tinggalkan sembahyang dan belum mahu menutup aurat, tapi bila tiba bulan Ramadhan berpuasa menjadi satu kemestian. Hebatnya suasana bulan Ramadhan. Benarlah Ramadhan itu bulan yang berkat. Kehadiran Ramadhan seolah-olah ada satu kuasa ghaib yang menggamit mereka kembali untuk merasai rasa kehambaan kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Adalah mustahil untuk seseorang yang tidak mempunyai rasa kehambaan untuk memaksa dirinya berlapar dan dahaga, baik di hadapan umum atau bersendirian.

Satu lagi tanda bahawa Ramadhan adalah bukti sayangNya Tuhan pada kita adalah solat Terawih. Rasanya tiada hari yang masjid dan surau penuh sesak selain hari-hari dalam bulan Ramadhan. Biarpun manusia susah untuk ke rumah Tuhan pada hari-hari biasa, tapi bila menjelang Ramadhan hati mereka seolah-olah terpanggil untuk hadir.

Alangkah hebatnya Ramadhan. Manusia di dalam bulan ini berpuasa tanpa dipaksa-paksa. Manusia bersolat tanpa perlu disuruh-suruh. Manusia bangun menunaikan sunat malam demi mencari keberkatan dan keredhaan Allah. Biarpun ianya hanya untuk tempoh yang sementara, tapi itupun sudah cukup untuk membuktikan pada diri sendiri, bahawa manusia sebenarnya mampu untuk memperhambakan diri kepada Allah dengan kerelaan diri sendiri.

Iman manusia adalah iman yang tidak tetap dan lemah. Saban tahun iman kita yang kerdil ini perlu dicuci dan diperbaiki. Mujurlah Allah kurniakan kita bulan Ramadhan. Ramadhan yang seolah-olah mempunyai satu kuasa ghaib yang menggamit manusia yang selama ini lalai dan leka untuk kembali mengingati Tuhan. Biarlah Ramadhan terus mendatang dan biarlah ia benar-benar menjadi latihan bagi manusia untuk menanam rasa kehambaan, iaitu rasa diri diawasi Tuhan dan juga latihan agar manusia sentiasa rindu untuk menziarahi rumah Tuhan.

Namun, Ramadhan hampir pergi lagi. Mungkinkah kita akan masih ditemukan dengan Ramadhan akan datang? Hanya Allah yang tahu…dan berdoalah kita agar roh Ramadhan sentiasa bersama kita walaupun Ramadhan pasti pergi tidak lama waktu lagi…