Sunday, October 23, 2011

Bingkisan rasa untuk abang yang telah pergi selamanya...


Hari ini genaplah dua minggu aku di perantauan. Dalam tempoh yang sebegini singkat, aku telah pun menerima perkabaran yang sangat menyedihkan. Agaknya inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjalanan yang panjang dan jauh. Tidak pernah aku duga akan menerima perkabaran sebegini seawal ini. Malam yang sangat dingin itu dikejutkan dengan pemergian abang sulungku. Abangku meninggal kerana sesak nafas jam 4 pagi waktu Malaysia...hampir tidak percaya kerana usianya yang masih boleh dikatakan agak muda. Tapi janji Allah tada siapapun boleh menghalangnya.

Rasanya ingin sahaja aku terbang pulang. Tapi apalah dayaku...hanya doa yang mampu kukirim dan air mata tidak lagi berhenti tanda ku hiba. Terkenang-kenang gerak gerinya, tingkah lakunya dan tutur katanya. Bagaimanakah keadaan abangku di alam sana? Ini malam kedua abang bersendiri di liang lahad..bagaimanakah ye keadaan abang ketika ini? Ya Allah...jauhkanlah abangku dari siksa kubur, jadikanlah kuburnya bercahaya seluas-luasnya...

Hati seorang adik yang jauh pastinya sangat terusik mengingatkan tentang segala kenangan yang pernah ada. Jarak umur kami sangat jauh. Ketika aku masih kecil abang sudah pun di universiti, kemudian terus membina kerjaya di Kuala Lumpur dan terus bekeluarga di sana. Pertemuan yang agak jarang mecipta ruang antara kami. Kami tidak berseloroh dan bertepuk tampar sebagaimana adik dan abang yang lain, namun wujud satu hubungan hormat yang tidak boleh dirungkai dengan kata-kata. Abang banyak membantu dalam apa jua keadaan. Membina rumah yang lebih baik untk ibu dan kami sekeluarga. Abang memainkan peranannya sendiri..apatah lagi ayah sudah lama pergi.

Setelah lama di Kuala Lumpur abang akhirnya mendapat tempat di Terengganu. Abang membeli sebidang tanah di belakang rumah ibu untuk membina rumahnya sendiri. Niatnya tercapai..rumah 3 tingkat abang mula terbina, sedikit demi sedikit...beserta halaman yang luas dan kebun di belakang rumah untuk mengisi masa lapang di usia persaraan. Namun, takdir tidak menyebelahi..abang ditukarkan sekali lagi ke Kuala Lumpur. Tetapi abang tidak putus asa membina harapan melihat rumah impiannya terbina. Setiap minggu abang akan pulang menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu. Tidak pernah jemu untuk menemani isteri tersayang di rumah impian mereka yang masih lagi dalam proses pembinaan.

Maha suci Allah yang mengetahui apa yang manusia tidak ketahui, Allah telah memanggil abangku kembali ke alam sana. Belum pun siap sepenuhnya rumah impiannya, belum pun lagi siap projek burung layang-layangnya, belum pun hilang penat naik turun bas setiap minggu dan belum lagi reda rumahnya dari kenduri besar yang dibuat untuk menjamu tetamu ke majlis perkahwinan anak sulongnya. Antara percaya dan tidak percaya ... abangku memang telah pergi selama-lamanya. Bila aku pulang ke Malaysia nanti, aku tidak akan dapat menemui abang lagi. Beberapa kali aku menampar pipiku sendiri..mengharapkan ini adalah sebuah mimpi. Tapi tidak ..ternyata ianya memang sebuah realiti.

Alhamdulillah, sebelum aku pergi permintaan abang untuk mengiringi rombongan perkahwinan anaknya aku laksanakan. Tapi aku terkilan, sms abang kali terakhir memohon maaf kerana tidak dapat menghantar aku ke KLIA tidak terbalas olehku. Bukan aku sengaja tidak membalasnya..tapi aku tak sangka balasan sms tersebut tidak sampai..dan bila menyedari hal tersebut beberapa hari kemudian...aku tidak mengambil tindakan segera untuk membalas sekali lagi...sehinggalah aku menerima perkabaran yang sangat mendukacitakan ini. Aku sangat-sangat menyesal.

Pada saat ini, terkenang-kenang saat aku di sebuah pasaraya bersama abang. Aku terhenti melihat sebuah kerongsang yang sangat berkilau dan bercahaya di dalam kotak kaca. Pasti sangat mahal harganya fikirku. Lantas abang kubertanya “suka?” aku mengangguk tapi tanpa sebarang harapan. Kata abang “Ambillah!”. Aku yang tergamam hampir tidak percaya .. tapi abang hanya tersenyum dan berkata “kalau suka..ambillah”...kerongsang itulah ku pakai ke mana sahaja sehingga hilang serinya...lantas hilang entah ke mana. Baju T-Shirt Antioni yang abang hadiahkan pun aku bawa sampai ke sini ..Aduh ..rindunya aku pada abang.....

Dalam kesedihan yang dalam ini, aku sangat-sangat bimbangkan ibu tuaku. Pastinya ibu aku sangat tertekan dan sedih. Aku pernah ingat betapa ibu berkeras tidak mahu ke hospital kalau bukan abang sulungku yang hantarkan..pastinya pemergian anak sulungnya ini sangat dirasai. Ibu sering bercerita..betapa manjanya abangku ketika kecil sehingga usianya 7 tahun masih lagi dikendong ibu. Betapa terkilan dan sedihnya hati ini kerana tidak dapat mententeramkan hati ibu di saat ini. Kuatkanlah semangat ibu. Betapa banyak ujian yang Allah berikan kepada ibu. Ini adalah zuriat ketiga ibu yang sudah dipanggil Allah. Allah sahaja yang mampu membalas kesabaran ibu dalam mengharungi dugaan hidup apatah lagi tanpa seorang suami di sisi. Ya Allah..kau jagalah keluargaku di sana. Hanya padaMu tempat ku berharap. Semoga abangku damai di sana dan rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin. Al fatihah.