Saturday, June 18, 2016

Selamat Hari Bapa





Saya tahu saya agak tidak adil. Hari bapa bukanlah hari yang saya tunggu. Berbeza dengan hari ibu. Sejak dari kecil ibu adalah segala-galanya buat saya. Hari bapa mengenangkan saya tentang zaman kanak-kanak saya tanpa kehadiran seorang ayah sejak dari umur 7 tahun. Melihat keintiman dan kemesraan yang anak-anak saya kecapi bersama suami, ayah mereka, sudah tentu membuatkan saya membanding-bandingkan dengan nasib saya yang tidak sempat mengenal ayah saya dengan baik. Wajah ayah saya kabur dalam memori zaman kecil saya. Tiada gambar jelas yang saya boleh lihat .. tiada kenangan segar yang boleh saya kongsikan. Cuma tiga perkara yang saya ingat tentang ayah. Pertama, ketika ayah memanggil-manggil kami anak-anaknya yang manakah mahu tidur dengan ayah malam ini? Saya dengan pantas mengangkat tangan dan terus mengekor ayah yang mengepit bantal di celah tangannya ke bilik tidur. Kedua, ada satu hari yang sangat menyeronokkan saya ketika masih kecil iaitu ketika saya dibonceng ayah dengan basikal tuanya ke sekolah. Saya melambai semua orang yang saya kenali ketika saya berada di boncengan belakang kerana saya rasa sangat gembira dan teruja dihantar ayah ke sekolah. Kebiasaannya saya hanya berjalan, berbasikal atau dibonceng oleh abang atau kakak ke sekolah. Hari itu, saya cukup seronok dan sesampai ke sekolah, rupa2nya saya tertinggal beg sekolah di rumah. Ayah pulang dengan basikal tuanya dan kembali ke sekolah untuk menghantar beg saya. Saya merasa sangat terkilan kerana keterujaan saya menyusahkan ayah. Dalam kedua- dua situasi itu, wajah ayah masih kabur dalam ingatan. Tetapi situasi ketiga sangat jelas bermain di fikiran saya. Bukan wajah ayah yang jelas tetapi kesan perasaan yang ditinggalkan sangat mendalam. Ketika di sekolah, ada seseorang yang saya kenali datang untuk membawa saya pulang sambil memaklumkan pada guru yang ayah saya telah meninggal dunia. Saya masih ingat detik itu. Saya tidak dapat menahan perasaan, saya menangis dan berlari pulang sambil memanggil-manggil ayah. Kakak mengejar saya dari belakang dengan basikalnya. Saya sangat sedih, saya masih ingat jalan yang saya lalui sambil meraung memanggil ayah dan ayah tanpa henti. Terngiang-ngiang panggilan kakak saya dari belakang supaya berhenti dan naik bersamanya.. segala-galanya saya ingat, tetapi wajah ayah masih kabur. Saya tidak berpeluang merasai kasih ayah secara jelas dalam memori kekal, wajahnya pun masih samar dalam ingatan. Saya janggal sekali dengan panggilan ayah. Betapa banyaknya perkara yang tidak dapat saya kecapi dulu bersama ayah. Saya sukar untuk mengucapkan hari bapa walaupun kepada suami saya sendiri. Anyway … Selamat Hari Bapa .. papa.. jadilah ayah terbaik untuk anak-anak kita. They love you so much. Ciptalah kenangan-kenangan yang indah dan bimbinglah mereka dengan bijaksana dan agama. AlFatihah ayah, Allahyarham Hj. Abdullah bin Abdul Rahman...amanlah ayah di sana. Tidak lupa untuk my in-law, Hj. Omar bin Ahmad. Terima kasih atas segalanya.


Mama and co
18 June 2016


No comments:

Post a Comment